Selepas mendirikan solat, kebanyakan daripada kita lazimnya akan menadah tangan untuk berdoa. Ya, itulah yang sebaik-baiknya andai kita diberikan kelapangan masa untuk berbuat demikian.
Namun begitu, ada juga yang terus beredar usai menunaikan kewajipan tersebut kerana kekangan masa atau mungkin juga kerana melihat jemaah lain yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan solat disebabkan saiz ruang surau terhad.
Seandainya tiada apa-apa haIangan selepas solat, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menyarankan agar kita kekal berada pada tempat solat berkenaan.
“Ini kerana para malaikat akan mendoakan keampunan buat mereka yang masih berada di tempat solatnya selagi tidak berhadas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya baru-baru ini ketika menjawab pertanyaan warganet.
Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Para malaikat berselawat kepada salah seorang kamu selama dia berada di tempat solatnya (sesudah solat), selagi dia tidak berhadas. Malaikat berkata: ‘Ya ALLAH, ampunkan dia, rahmati dia’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Justeru, Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu menyarankan agar kita duduk sebentar selepas solat dan membasahkan lidah dengan berzikir.
“Isikan masa-masa tersebut dengan bertasbih, beristighfar, bertahmid dan bertakbir. Demikianlah zikir-zikir yang ma’tsur sesudah solat.
“Dalam hal ini, Imam Ibn Battal Rahimahullah dalam Syarah Sahih al-Bukhari ada menyatakan, sesiapa yang banyak dosa dan dia ingin agar Allah menghapuskan dosa-dosanya tanpa perlu bersusah payah, maka hendaklah dia mengambil peluang melazimi tempat solatnya sesudah dia selesai mendirikan solat. Tujuannya supaya dia mendapat banyak doa dan istighfar daripada para malaikat buat dirinya,” ungkapnya.
Bukan itu sahaja, berzikir dan berdoa usai solat fardu sebenarnya merupakan amalan yang digalakkan. Bahkan, ia turut dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Daripada Thauban RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila selesai menunaikan solat, baginda beristighfar sebanyak tiga kali seraya menyebut Allahumma antas salam wa minkas salam tabarakta zal jalali wal ikram.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam satu riwayat lain, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bertasbih setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan la ilaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir, maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Melihat ungkapan hadis tersebut, alangkah baiknya jika kita tidak terus tergesa-gesa bangun selepas menunaikan solat fardu. Sebaliknya duduklah sejenak dan bermunajat sambil mengalunkan zikrullah jika ada masa terIuang.
Sumber Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.